Singapura benarkan makan di restoran

SINGAPURA 18 Jun – Mulai 21 Jun ini, Singapura membenarkan orang  ramai duduk makan di restoran dan pusat makanan tetapi dihadkan kepada dua individu sekumpulan berbanding lima sekumpulan yang diumumkan sebelum ini.

Di samping itu, gim dan pusat kecergasan tertutup juga boleh beroperasi dengan had dua orang sekumpulan dan kelas sehingga 30 orang termasuk jurulatih.

Jarak dua meter antara individu dan dan tiga meter antara kumpulan berasingan perlu dipatuhi.

Keputusan tersebut diumumkan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19, dan ini  adalah sebahagian daripada pendekatan berjaga-jaga bagi membuka semula ekonomi.

Kumpulan lebih dua orang yang tidak tinggal serumah tidak dibenarkan makan bersama di premis-premis F&B meskipun mereka duduk di meja-meja berasingan.

Untuk mengurangkan lagi risiko berlaku penularan menerusi perbualan secara kuat antara pelanggan, muzik tidak boleh dimainkan di premis-premis makanan dan minuman (F&B).

Ini selain sekatan-sekatan sedia ada ke atas tayangan video atau televisyen serta persembahan hiburan secara langsung di premis-premis sedemikian.

Sementara itu para pelawat ke rumah jagaan warga tua perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) Covid-19 di kemudahan berkenaan sebelum mereka dibenarkan masuk melawat secara fizikal.

Related posts

Leave a Comment