COLOMBO: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan, sebanyak 38 calon akan mencabar keduduan Ranil Wickremesinghe sebagai Presiden Sri Lanka bulan depan selepas pencalonan ditutup, semalam.
Ini kali pertama Wickremesinghe, 75 dicabar selepas mengambil alih pemerintahan, setelah penyandang, Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan pada 2022 susulan tunjuk perasaan berbulan-bulan oleh rakyat yang berang dengan krisis ekonomi.
Wickremesinghe dijangka menghadapi saingan sengit daripada pemimpin pembangkang, Sajith Premadasa, 57, dan pemimpin berhaluan kiri, Anura Kumara Dissanayaka, 55.
Antara calon akan turut bertanding pada pilihan raya itu ialah Namal Rajapaksa, 38, iaitu anak lelaki kepada bekas Presiden dan juga bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa.
Pilihan raya di negara mempunyai kira-kira 22 juta penduduk ini dijadualkan berlangsung pada 21 September depan, tanpa seorang pun calon wanita.
Lebih 17 juta individu layak mengundi pada pilihan raya kali ini dengan keputusan dijangka dalam tempoh sehari, manakala Presiden baharu mesti mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh dua minggu.
Pada Pilihan Raya Presiden, November 2019, seramai 35 calon bertanding dengan kemenangan memihak kepada Gotabaya Rajapaksa.
Nnn
