PM Thailand dilucutkan jawatan

BANGKOK 14 Ogos – Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatannya selepas Mahkamah Perlembagaan mendapati beliau bersalah kerana melanggar perlembagaan negara.

Panel hakim memutuskan keputusan 5-4, dengan Srettha didapati melanggar peraturan dengan melantik seorang peguam dengan sabitan jenayah ke dalam Kabinetnya.

Susulan itu, Parlimen Thailand akan bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, yang dijangka menambah pergolakan politik di negara itu.

Minggu lalu, Mahkamah Perlembagaan membubarkan Parti Move Forward, parti pembangkang yang sangat popular dan mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen.

Kes Srettha dibawa sekumpulan bekas senator yang dilantik bekas pimpinan junta Thailand.

Hakim, Punya Udchachon ketika membaca penghakiman berkata, mahkamah memutuskan dengan majoriti 5-4 bahawa jawatan perdana menteri ditamatkan di bawah perlembagaan kerana Srettha tidak menunjukkan sifat jujur dalam melantik menteri.

Punya berkata, Srettha tentunya tahu mengenai sabitan kesalahan pada 2008 ke atas peguam terbabit, Pichit Chuenban apabila dia melantiknya ke Kabinet.

“Pelantikan responden kedua (Pichit) menunjukkan responden pertama (Srettha) tidak jujur dan melanggar piawaian etika,” katanya.

Srettha 61, dipecat tidak sampai setahun memegang jawatan tertinggi itu selepas memperoleh 374 undi majoriti yang diperlukan pada 22 Ogos tahun lalu setelah pencalonan pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat ditolak

Kes terhadap Srettha tertumpu pada pelantikan Pichit, seorang peguam yang dikaitkan dengan keluarga bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang juga dikenali sebagai jutawan.

Pichit dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 2008 atas kesalahan berkaitan rasuah. Beliau kemudiannya meletakkan jawatan dalam usaha untuk menyelamatkan Srettha, namun mahkamah meneruskan kes itu.

Srettha adalah perdana menteri ketiga daripada parti Pheu Thai yang menerima nasib sama dalam keputusan dibuat Mahkamah Perlembagaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment