NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Selasa mengecam Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir yang memimpin ibadat di halaman Masjid Al-Aqsa dan menyifatkannya sebagai terlalu provokatif.
Timbalan Jurucakap Farhan Haq berkata, PBB menentang sebarang usaha untuk mengubah status quo di dalam tapak suci.
“Masjid Al-Aqsa, seperti tempat suci lain di Baitulmaqdis, harus diserahkan kepada mereka sendiri dan harus dikawal oleh pihak berkuasa agama sedia ada untuk tapak itu.
“Tingkah laku seperti ini tidak membantu dan ia sangat provokatif,” katanya.
Lebih 2,200 peneroka haram memasuki kompleks itu pada Selasa untuk memperingati Tisha B’Av, hari puasa tahunan Yahudi yang menandakan beberapa bencana dalam sejarah Yahudi.
Sementara itu, Kementerian Luar Perancis mengecam Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir kerana mengingkari larangan terhadap ibadat Yahudi di halaman Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, dengan menyebutnya sebagai provokasi yang tidak boleh diterima.
Kementerian itu dalam satu kenyataan juga mendesak Israel untuk menghormati status quo di tapak ketiga paling suci Islam.
“Provokasi baharu ini tidak boleh diterima,” katanya.
Nnn