Kes di Indonesia kini 75,699

SINGAPURA mengesahkan 178 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif mencecah 45,961 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini, 12 Julai, majoriti kes adalah daripada pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Setakat ini, ada satu kes dalam komuniti melibatkan rakyat Singapura dan satu kes import yang diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Setakat ini  96,200 SHN dikeluarkan dan 10,800 masih aktif.

Sehingga 12 tengah hari semalam, 11 Julai, 42,026 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit pulih sepenuhnya manakala 192 kes masih di hospital di mana seorang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam, sebuah asrama dengan empat kes di 53L Tuas South Avenue. 

INDONESIA menambah 1,681 kes baharu positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif 75,699 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 71 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,606 orang.

Sebanyak 14,515 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,208 kes, diikuti Jakarta (691 kes), Jawa Tengah (240), Sulawesi Selatan (223) dan lain-lain.

Provinsi itu juga mencatatkan kes positif tertinggi keseluruhan iaitu sebanyak 16,658 kes, diikuti Jakarta (14,517 kes) dan lain-lain.

THAILAND merekodkan satu kes import yang melibatkan warganegaranya yang baru pulang dari Jepun pada Selasa lalu. Jumlah kes kini 3,217.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), pesakit berusia 39 tahun itu dikuarantin di Bangkok dan disahkan positif Covid-19 pada Jumaat walaupun tanpa menunjukkan sebarang gejala.

Tiada kes penularan tempatan dilaporkan untuk hari ke 48 manakala jumlah kematian kekal 58.

Related posts

Leave a Comment