BANGKOK: Kedudukan Perdana Menteri Srettha Thavisin sama ada dipecat atau sebaliknya akan diketahui petang ini apabila Mahkamah Perlembagaan Thailand membuat keputusan mengenai pelantikan seorang menteri Kabinet yang mempunyai rekod jenayah.
Jika Srettha yang telah setahun menegang jawatan itu disingkirkan, Parlimen dengan 500 kerusi mesti bersidang untuk memilih perdana menteri baharu, sekali gus menambah pergolakan di negara yang sebelum ini menyaksikan rampasan kuasa dan keputusan mahkamah yang menjatuhkan pelbagai kerajaan dan parti politik.
Minggu lalu, Mahkamah Perlembagaan membubarkan Parti Move Forward, parti pembangkang yang sangat popular, yang antara lain kempennya untuk memperbaharui undang-undang menghina sistem raja.
Srettha yang juga hartawan hartanah tanpa pengalaman politik, menjadi topik perbincangan selepas beliau dikatakan melanggar Perlembagaan dengan memberi jawatan menteri kepada bekas peguam yang pernah dipenjara.
Parti Pheu Thai, di bawah pimpinan Srettha dan parti sebelumnya antara punca pergolakan Thailand, dengan dua kerajaan terdahulu disingkirkan melalui rampasan kuasa, akibat dendam lama di antara pengasas parti itu, iaitu keluarga hartawan Thaksin Shinawatra, dan pesaingnya seperti pemimpin konservatif dan pegawai tentera yang menyokong raja.
Srettha menafikan salah laku dalam melantik bekas peguam Shinawatra, Pichit Chuenban, yang dipenjarakan sekejap kerana menghina mahkamah pada 2008 atas dakwaan yang tidak pernah dibuktikan, iaitu cubaan merasuah kakitangan mahkamah.
Pichit kemudiannya telah meletak jawatan namun Mahkamah Perlembagaan tetap bersetuju untuk mendengar kes itu.
Terdahulu Srettha berkata, beliau tidak akan hadir apabila Mahkamah Perlembagaan menyampaikan keputusan kerana komitmen kerja yang telah dijadualkan.
Beliau akan menghantar Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri Prommin Lertsuridej untuk mewakilinya bagi mendengar keputusan itu.
“Saya ada mesyuarat dalaman dengan agensi berkaitan mengenai pentadbiran negara di Rumah Kerajaan esok,” katanya.
Nnn
