SEREMBAN 14 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menafikan bakal dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada rombakan Kabinet akan datang.
Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan perkara itu yang tersebar di laman sosial adalah tidak benar dan tindakan nakal pihak tertentu.
“Saya tiada dimaklumkan, tiada dengar khabar berita. Itu cukup nakal daripada UMNO. Saya baca dan semak, ia adalah tidak benar.
Mungkin itu adalah gurauan dari mereka. Buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk menyertai Kabinet, malah tidak pernah dipanggil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mungkin ada pihak yang sengaja menyebarkan di laman sosial, namun setakat ini saya tidak mendengar sebarang khabar berita mengenainya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Semalam, tersebar di laman sosial ucapan tahniah daripada UMNO Negeri Sembilan kepada Aminuddin susulan pelantikan beliau sebagai Menteri Ekonomi.
Bagaimanapun Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menafikan info grafik yang disebarkan itu dan meminta orang ramai berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita sebegini.
“Kenyataan yang tepat dan sahih daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan hanyalah melalui laman media sosial “UMNO Perhubungan Negeri Sembilan” dan/atau TikTok “umno_ns”,” kata satu kenyataan penafian.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, prestasi yang baik kalangan menteri Kabinet sedia ada menunjukkan negara sedang dipandu ke arah yang betul.
“Dalam tempoh setahun ini kita dapat lihat peningkatan dari segi ekonomi, ringgit dan eksport. Ini adalah satu petanda yang amat baik sekali gus dapat meyakinkan pelabur luar dan apabila ada keyakinan daripada pelabur,
“Itu pandangan peribadi saya, namun ia (rombakan Kabinet) adalah hak Perdana Menteri,” katanya.
Nnnn