PUTRAJAYA 13 Ogos – Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang melibatkan kos RM2.4 juta ditetapkan pada 28 September ini manakala penamaan calon pada 14 September.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari pengundian awal pula adalah pada 14 September dan urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini
Bercakap pada sidang media, di sini, hari ini, Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 27 September.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN N29 Mahkota itu membabitkan daftar pemilih tambahan Jun 2024 yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu.
Mengikut DPPR berkenaan, seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Katanya, seramai 126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 109 saluran dan tiga pusat mengundi awal bakal digunakan.
Beliau berkata, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu.
Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding.
“Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan adalah di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang setelah mengalami pendarahan dalaman.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 dan bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti 5,166 undi selepas memperoleh 16,611 undi
Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.
Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668 menewaskan calon BN, Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.
Nnnn
