Di sebalik hartanah, pengangkutan awam darat

SELAMA dua hari, Sabtu dan Ahad, banyak panduan atau ilmu yang dikongsi oleh pejuang-pejuang hartanah kepada lebih 2,000 peserta Simposium Hartanah Utusan 2 (SHU2). Diharapkan simposium secara percuma itu memberi manfaat kepada para peserta terutama generasi muda untuk melibatkan diri sebagai pelabur hartanah. Mengikuti ce­ramah yang disampaikan sepanjang dua hari itu, ada beberapa panduan yang boleh membantu orang muda memiliki hartanah bukan sahaja untuk diduduki tetapi sebagai pelaburan masa hadapan. Sekurang-kurangnya mereka bakal memiliki aset ketika hari tua, bukannya jatuh miskin pada usia tua. Harta tiada, tanah pun tiada! Seperti kata seorang pejuang hartanah, Ahyat Ishak dalam ce­ramahnya bertajuk Strategi paling ‘power’ dalam pelaburan hartanah, kita perlu sentiasa melihat peluang di hadapan.

Berkaitan dengan peluang dan strategi, Ishmael Ho memberi beberapa panduan untuk pelabur hartanah melalui ce­ramahnya bertajuk Bongkar rahsia lubuk hartanah terbaru di Malaysia. Salah satu yang boleh dijadikan panduan ialah melalui peta sesebuah negeri. Ada rahsia yang perlu diterokai dalam pembangunan kawasan berkenaan. Contohnya kawasan yang terli-bat dengan sistem pengangkutan awam darat seperti Transit A­liran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Ekspres Rail Link (ERL), Perkhidmatan Tren ELektrik (ETS), monorel, komuter dan akan datang Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). Kawasan ini mempunyai potensi yang baik untuk pelaburan. Lebih banyak lagi kawasan akan terlibat dengan sistem ini.

Begitulah serba sedikit mengenai pencapaian SHU2. Selak hanya memaparkan sepintas lalu mengenai kejayaan simposium itu kerana ruangan hari ini berkait rapat dengan satu lagi simposium tetapi berkaitan dengan pengangkutan awam darat. Hari ini berlangsung Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 dan Pameran Transformasi Pengangkutan Awam Darat anjuran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Simposium bertemakan “ Pengangkutan Awam: Mentransformasikan Negara” berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre. Elok juga pelabur hartanah boleh melihat lebih dekat pameran sehari itu yang mungkin menawarkan peluang untuk pelaburan pada masa hadapan. Pada majlis itu juga buku Menyentuh dan Mengubah­ Kehidupan, Menghubungkan Komuniti: Laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat 2010-2015 akan dilancarkan. Buku ini mengimbau semula wawasan transformasi pengangkutan awam darat serta penubuhan SPAD. Ia akan menyelak kembali sistem pengangkutan awam di peringkat awal sehinggalah kepada sistem yang ada pada hari ini yang meliputi sistem pengangkutan rel. Simposium ini juga akan mengutarakan pembentangan dan perbincangan mengenai inisiatif-inisiatif yang akan mencorakkan mobiliti dan kesalinghubungan pengangkutan awam darat sebagai pemangkin pembangunan sosio-ekonomi negara.

Seperti yang pernah diselak di ruangan ini, sistem pengangkutan rel atau landasan ini merupakan satu pengangkutan awam terpenting di Lembah Klang. Ba­yangkan ketika ini tidak ada sistem rel di ibu negara. Apa akan terjadi di jalan raya utama di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Selak pernah memperkatakan isu ini di bawah tajuk Bayangkan Kuala Lumpur tanpa sistem rel (Utusan Malaysia 2 Februari 2009) dan ETS `mencabar’ lebuh raya, laluan udara (Utusan Malaysia 27 Julai 2015). Penduduk Lembah Klang/ Greater Kuala Lumpur akan terus menikmati sistem pengangkutan rel ini dengan lebih meluas dan cekap dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia juga sebahagian daripada usaha meningkatkan­ perhubungan menerusi Bus Network Revamp (BNR) dan Bas Rapid Transit (BRT). Di samping itu, sistem pengangkutan rel juga melibatkan hubungan antara bandar di negeri-negeri malahan menghubungkan negara dengan negara.

Ketika ini, projek penyambu­ngan laluan LRT telah dilancarkan pada bulan Jun lalu manakala fasa pertama MRT akan dilancarkan pada akhir ta-hun ini. Projek MRT 2, MRT 3 serta LRT 3 pula bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Sungai Buloh, Petaling­ Jaya, Subang Jaya, Puchong, Ampang, Serdang, Putrajaya dan Klang. Bagi laluan antara bandar dan negeri pula, ETS telah menghubungkan Kuala Lumpur-Ipoh-Butterworth-Padang Besar sementara di selatan, menghubungkan Kuala Lumpur sehingga ke Gemas. Akhir tahun ini, operasi laluan berkembar Gemas-Johor Bahru dijangka memulakan perkhidmatannya. Projek HSR pula membolehkan perjalanan Kuala Lumpur dan Singapura hanya dalam tempoh 90 minit.

Begitulah pembangunan pesat sistem pengangkutan awam negara khususnya melibatkan pe­ngangkutan rel atau landasan. Diharapkan pembangunan pe­ngangkutan awam ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi juga dapat membangunkan kawasan-kawasan yang terlibat. Di sinilah pelabur hartanah perlu merebut peluang yang ada untuk membuat pelaburan bagi jangka masa panjang.

UMA171016011C#

Related posts

Leave a Comment