KUALA LUMPUR 13 Ogos – Calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diwakili Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu yang dijadualkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.
Katanya, oleh kerana kerusi terbabit diperuntukkan kepada BN, parti itu akan mengadakan perbincangan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan membawa keputusan ke dalam mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ahmad Zahid, DUN Mahkota adalah kawasan yang agak berpotensi untuk terus menang dan tentunya BN mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Lazimnya, persefahaman yang menjadi formula Kerajaan Perpaduan ialah kerusi-kerusi yang diwakili oleh mana parti dalam Kerajaan Perpaduan itu harus diserahkan atau ditandingi semula oleh parti berkenaan.
“Jadi saya tidak mahu kenyataan-kenyataan dikeluarkan mana-mana pemimpin besar atau kecil, menuntut mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu untuk dituntut atau mengeluarkan kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi yang sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SE-MPUPK) Bilangan 3 Tahun 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, PN akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan PRK DUN Mahkota, di Kluang esok.
“PN Johor sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama rakan parti komponen negeri sebelum ini. Namun, esok akan diadakan mesyuarat lebih terperinci bagi membincangkan perihal PRK DUN Mahkota secara khusus.
Ia akan dihadiri Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan wakil Gerakan Johor sama ada Timbalan Pengerusi atau Setiausahanya,” katanya.
Mengulas isu calon yang akan diturunkan PN Johor pada PRK DUN Mahkota, Dr Sahruddin berkata, ia akan diputuskan PN Pusat.
“Minggu lalu, kita sudah buat beberapa siri mesyuarat Bersatu dan PN dengan skala kecil. Mengenai calon PN untuk PRK DUN Mahkota, PN Johor akan mengusulkan beberapa nama kepada Pusat bagi penilaian dan perincian lanjut.
“Mengenai hal ini lebih elok, PN Pusat yang memberi ulasan lanjut kerana kita hanya akan mengusulkan dan terpulang kepada pucuk pimpinan memutuskannya,” katanya.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.
Nnn
