Amirudin lebih selesa pimpin Selangor

SHAH ALAM 13 Ogos –  Menteri Besar, Amirudin Shari lebih selesa menerajui Selangor berbanding dilantik sebagai menteri pada peringkat Pusat bagi meneruskan kelangsungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Untuk kelangsungan perancangan kita (Selangor) ini, saya ‘prefer’ (lebih selesa) untuk terus ‘stay’ (kekal) sebab saya nak pastikan semua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dapat disampaikan kepada rakyat, apa yang kita janji dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai ahli yang patuh, beliau akan akur dengan apa yang dipertanggungjawabkan pucuk pimpinan parti pada masa depan

Katanya, setakat ini beliau tidak mendengar apa-apa berita mengatakan dirinya akan ditarik keluar dari Selangor untuk membarisi Kabinet pada peringkat Pusat.

Kalau tiada penyesuaian berlaku, ia memberi kesan prestasi negeri dan parti, itu pada pandangan saya tetapi sebagai ahli parti yang patuh, kita akan cuba mengikut dan melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya pada hari ini dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Amirudin mengulas dakwaan berhubung laporan seorang menteri besar dari PKR akan menjadi menteri penuh dalam satu rombakan Kabinet okeh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kemudiannya dinafikan.

Menurut Amirudin, beliau juga tidak mengetahui niat di sebalik khabar angin membabitkan dirinya yang dikatakan bakal menjadi menteri itu, berulang kali ditimbulkan.

“Saya tidak tahu apa niat berita ini, tetapi kalau ikut laporan (dari dulu), sudah lama saya tidak jadi menteri besar,” katanya.

Sementara itu, mengulas laporan portal media berhubung Selangor sedang mempertimbang untuk merombak barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas setahun pelantikan, Amirudin berkata, tindakan itu akan dilakukan mengikut kesesuaian.

“Desas-desus rombakan peringkat negeri ini juga bagus sebagai ‘ingatan’ kepada semua untuk bekerja lebih baik untuk rakyat, bagi pastikan apa yang kita janjikan kepada mereka mencapai sasaran ditetapkan.

“Sebenarnya, rombakan itu tetap ada pada bila-bila masa mengikut kesesuaian yang kadang-kadang disebabkan sakit, kematian atau faktor lain.

“Tetapi bagi saya, buat masa ini saya mempunyai pasukan yang mantap di Selangor, mereka gembira bekerja bersama-sama tetapi saya akui perlu ada peningkatan prestasi untuk mantapkam perkhidmatan selepas setahun (pentadbiran),” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment