KLANG 25 Okt . – Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila teguran baginda disalah tafsir sebagai mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.
Sultan Selangor itu bertitah, teguran baginda bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya baginda ingin memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.
“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan,” titah baginda.
Sebaliknya, baginda mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.
“Namun demikian, apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik, seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak,” titah baginda
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Sultan Selangor menegaskan bahawa baginda amat arif berhubung peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan serta tanggungjawab baginda di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang negara ini dan negeri Selangor amalkan.
Baginda turut menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa baginda sebagai Sultan.
“Selama ini, beta laksanakan pemerintahan berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang di bawah kuasa beta. Beta percaya bahawa setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
“Beta juga akan terus melaksanakan tanggungjawab beta untuk memelihara kedudukan agama Islam sebagai agama negeri, serta memastikan agama Islam terus dihormati dan diamalkan oleh umat Islam di Selangor tanpa ada yang mempertikaikannya,” titah baginda.
Sementara itu, baginda menyeru seluruh rakyat Selangor supaya terus hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Titah baginda, Malaysia dan khususnya negeri Selangor mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang. Perbezaan kaum, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita bermusuhan.
Baginda turut menyeru rakyat supaya berhati-hati dalam menyentuh perkara-perkara yang sensitif, tidak menggunakan kebebasan bersuara sehingga menyinggung perasaan kaum lain serta agama atau kepercayaan mereka.
“Kita perlu hidup di dalam suasana harmoni dengan saling menghormati antara satu sama lain. Kebebasan mesti disertai tanggungjawab, perbezaan pandangan mesti disertai adab dan kemajuan mesti disertai nilai kemanusiaan. Beta mahu Selangor terus menjadi negeri yang aman, makmur dan rakyatnya hidup bersatu-padu,” titah Sultan Selangor.
Nnnn
