PUTRAJAYA 13 Ogos – Kadar kelahiran bayi lelaki melebihi perempuan dengan 51,759 berbanding 48,973 kelahiran dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan, bagi tempoh suku tahun kedua 2024.
Menurut Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,320 (19.2 peratus) manakala kelahiran hidup terendah dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan (324 atau 0.3 peratus).
Bagaimanapun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah kelahiran hidup menunjukkan penurunan sebanyak 10.2 peratus (100,732 kelahiran) berbanding 112,197 kelahiran pada suku tahun kedua 2023.
“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 47 bayi bagi setiap jam dan 1,119 bayi sehari pada suku tahun kedua 2024,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mengikut pecahan kaum, Melayu menyumbang 67.4 peratus (67,859 kelahiran hidup) manakala bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 9.7 peratus dan 3.7 peratus berbanding 9.9 peratus dan 4.4 peratus pada suku tahun kedua 2023.
Kelahiran membabitkan Bumiputera lain meningkat kepada 12.9 peratus yang merangkumi Bumiputera Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia lain.
Bagaimanapun sebanyak 48,460 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2024, penurunan sebanyak 5.4 peratus berbanding suku tahun kedua 2023 (51,234 kematian).
Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,510 manakala 20,950 kematian bayi perempuan dengan nisbah jantina bagi kematian ialah 131 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Pada tempoh masa yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,459 kematian (15.4 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 65 kematian (0.1 peratus).
“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 538 kematian sehari pada suku tahun kedua 2024,”katanya.
Mohd Uzir berkata, penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding suku tahun kedua 2023 (33.4 juta) iaitu peningkatan sebanyak 1.9 peratus.
Jumlah penduduk terdiri daripada 30.7 juta (90 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara dengan pecahan penduduk lelaki meningkat kepada 17.9 juta daripada 17.5 juta pada suku tahun kedua 2023 dan wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 15.9 juta dalam tempoh yang sama.
Bagi penduduk umur muda (0-14 tahun) , jumlahnya kekal tidak berubah pada 7.6 juta. Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan dan nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Sementara itu, komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih) masing-masing meningkat daripada 23.3 juta dan 2.5 juta kepada 23.9 juta dan 2.6 juta pada suku kedua 2024,”katanya.
Secara keseluruhan kaum Melayu menyumbang 58.1 peratus (17.8 juta) daripada jumlah penduduk pada suku tahun kedua 2024, Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 peratus dan 6.5 peratus berbanding 22.6 peratus dan 6.6 peratus, sementara bumiputera lain meningkat kepada 12.3 peratus berbanding 12.2 peratus pada tempoh yang sama.
Mmn
