TEL AVIV – Menjelang pilihan raya umum pertama Israel sejak tercetus perang di Gaza, ribuan rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv pada Sabtu bagi membantah kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu dan menuntut siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan 7 Oktober 2023.
Demonstrasi yang berlangsung di Dataran Tebusan (Hostages Square) itu diadakan tiga hari sebelum pilihan raya umum pertama Israel sejak tercetus perang di Gaza.
Perhimpunan dianjurkan Majlis Oktober, kumpulan yang diasaskan keluarga tebusan yang dibawa ke Gaza tiga tahun lalu, bagi menuntut kerajaan bertanggungjawab atas kegagalannya menghalang serangan Hamas yang mencetuskan konflik berkenaan.
Majlis Oktober menyatakan matlamat mereka adalah memastikan individu yang bertanggungjawab terhadap kegagalan yang membawa kepada serangan 7 Oktober dipertanggungjawabkan serta keadilan diberikan kepada keluarga yang terkesan.
Dalam kenyataan di platform X, Majlis Oktober berkata, acara itu menjadi kemuncak perjuangan selama tiga tahun untuk menuntut kebenaran didedahkan, akauntabiliti ditegakkan dan suruhanjaya siasatan negara ditubuhkan.
Perhimpunan itu turut disertai beberapa pemimpin utama pembangkang, termasuk Gadi Eisenkot daripada parti Yashar, yang dilihat sebagai pencabar utama Netanyahu daripada blok kanan-tengah.
Tinjauan pendapat menjelang pilihan raya pada Selasa menunjukkan persaingan sengit antara blok berhaluan kanan pimpinan Netanyahu, yang memegang kuasa sejak penghujung 2022, dan blok diketuai Eisenkot.
Pilihan raya kali ini dianggap penting kerana boleh menentukan hala tuju dasar keselamatan Israel, termasuk kemungkinan melancarkan semula serangan terhadap Iran.
Nnnn
