ORANG ramai diingatkan supaya tidak alpa dan terlalu mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penurunan kes positif Covid-19 yang sedang berlaku.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk mengisytiharkan bahaya Covid-19 sebagai risiko rendah kerana kes boleh berubah mengikut hari demi hari.
Masyarakat sebaliknya diingatkan untuk terus mengekalkan segala usaha selama ini dalam memerangi virus ini bersama Kerajaan.
Rakyat perlu saling menjaga dan melindungi diri dari virus Covid-19 dengan mematuhi PKPB, mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan, mengamalkan jarak sosial selamat dan mengamalkan norma-norma baharu dalam kehidupan seharian.
Kementerian itu juga akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.