WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan pilihan raya pertengahan penggal sebagai peluang untuk rakyat mengehadkan pengaruh pentadbiran Donald Trump yang menurutnya dipenuhi pelbagai kegagalan.
Berucap pada siri kempen di Ohio dan Michigan untuk Parti Demokrat, Obama turut melontarkan kritikan terbuka terhadap pentadbiran Presiden Trump berhubung peningkatan kos sara hidup dan konflik dengan Iran
“Pilihan raya ini merupakan peluang terbaik terakhir untuk sekurang-kurangnya mengekang sebahagian daripada tindakan tidak masuk akal pentadbiran ini,” katanya.
Pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 3 November itu akan menentukan parti yang menguasai Kongres bagi baki tempoh pentadbiran Trump, dengan pengundian awal sudah pun bermula di beberapa negeri.
Dalam ucapannya di Cleveland, Obama menyifatkan dua tahun pentadbiran Trump sebagai tempoh yang dicemari kekacauan, rasuah dan ketidakcekapan.
Obama turut mengakui ramai pengundi menolak Demokrat pada pilihan raya 2024 kerana kebimbangan terhadap ekonomi dan inflasi pasca pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, keadaan ekonomi semasa tidak boleh dipisahkan daripada dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump.
“Jika sebelum ini anda merasakan segala-galanya terlalu mahal sebelum ‘orang itu’, sekarang semuanya menjadi lebih mahal,” katanya yang turut mengkritik pendekatan Washington dalam konflik Iran.
Beliau mendakwa perang yang berlarutan memberi Tehran pengaruh lebih besar ke atas Selat Hormuz, antara laluan perkapalan terpenting dunia.
Obama turut menyentuh usaha Trump menghias semula White House dengan sindiran.
“Apa hal dengan semua warna emas itu? Dia membuatkan White House kelihatan seperti Saddam Hussein membuka restoran Cheesecake Factory,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu Trump mempertahankan tindakannya dalam menangani konflik dan mendakwa telah mengendalikannya dengan sangat berkesan dan yakin akan menang.
Nnnn
