GUA MUSANG 10 Ogos – Pengaktifan perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di sini, akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas itu.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihak kementerian mengambil maklum laporan yang diterima mengenai kesukaran penduduk di DUN Nenggiri untuk mengakses mesin ATM, yang memaksa mereka melakukan perjalanan sejauh 50 kilometer untuk ke Gua Musang.
“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan mesin ATM di DUN Nenggiri dan ia mendapat respons positif,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, MOF juga memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan, khususnya dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ATM dapat diperluaskan.
Orang ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses mesin ATM di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui ukk@treasury.gov.my atau talian 03-8000 8000.
Isnin lalu, sebuah media tempatan melaporkan lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri, yang kini menjadi tumpuan kerana pilihan raya kecil (PRK), terpaksa memandu hampir 45 minit untuk mengakses mesin ATM terdekat.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.
Ia diadakan susulan kekosongan kerusi berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lepas
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada penduduk Nenggiri yang akan peroleh kemudahan itu selepas berpuluh tahun diwakili Ahli Parlimen dan ADUN BN.
“Ini menggemparkan lebih daripada pelaburan Tesla dan Elon Musk,” katanya melalui Facebooknya.
Justeru beliau juga berharap selain Kementerian Kewangan, kementerian-kementerian lain juga perlu berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan rasmi segera untuk projek masing-masing.
“Antara yang boleh dicadangkan Kementerian Air bakal wujudkan tambahan kepala paip di masjid dan madrasah, Kementerian Luar Bandar bakal wujudkan beberapa unit tandas di pusat-pusat komuniti,” katanya.
Begitu juga Kementerian Belia dan Sukan membekalkan beberapa biji bola takraw kepada anak-anak muda.
“Dan banyak lagi. Cepat sebelum 17 Ogos ini! Semuanya wajib dimaktubkan dalam kenyataan rasmi,” katanya.
Nnn
