Mahkota: Hormati semangat perpaduan

PUTRAJAYA 8 Ogos – Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan diminta menghormati semangat perpaduan dengan tidak membuat tuntutan ke atas mana-mana kerusi sebelum ia diputuskan oleh kepemimpinan Pusat.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semangat itu perlu diterjemahkan dalam menghadapi mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan, bukan tuntut itu dan ini.

“Sila hormat… kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti, jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaanlah,” katanya kepada media selepas merasmikan National Symposium of Rural Planning and Development 2024, di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dilaporkan berkata parti itu sedia untuk bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekiranya diberi peluang dan sudah menyenaraikan calon bersesuaian untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan Pusat.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia Jumaat lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata kenyataan itu tidak mencerminkan kepemimpinan di Pusat kerana di peringkat Pusat setakat ini belum ada perbincangan mengenai perkara berkenaan.

Malaysiakini pula sebelum ini melaporkan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi bagi kerusi DUN Mahkota di Johor yang dikosongkan baru-baru ini.

Beliau berkata Amanah sepatutnya memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Nenggiri yang ditandingi UMNO untuk merebut semula kerusi itu daripada Bersatu.

“Saya menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.

“Saya menyeru semua pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.

Katanya, Amanah komited mengukuhkan perpaduan antara anggota kerajaan campuran.

Nnn

Related posts

Leave a Comment