JOHOR BAHRU 8 Ogos – Dua ahli sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.44 juta dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Tangkak pada 3 Ogos hingga semalam.
Polis Johor menumpaskan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah, dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.44 juta dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Tangkak pada 3 Ogos hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, operasi khas itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama bahagian JSN daerah Johor Bahru Selatan (JBS).
Katanya, suspek pertama adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun, ditahan pada 3 Ogos pukul 9 pagi dan menemui dadah dalam kereta.
“Susulan penangkapan suspek pertama, kita menahan suspek kedua berusia 36 tahun di sebuah rumah di Tangkak, semalam. Hubungan kedua suspek adalah rakan sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Modus operandi kegiatan yang aktif sejak Jun lalu menjadikan kenderaan di kawasan parkir sebuah apartment di Johor Bahru sebagai tempat penyimpanan dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas serbuk ekstasi seberat 18,634.60 gram, 115 botol jus minuman bercampur dadah (47.90 liter), 55 bekas jeli disyaki campuran ekstasi (1,674 gram), 17 paket ketamin (24.08 gram), 35 biji pil ekstasi (15.20 gram) dan 50 biji pil eramin 5 (13.60 gram) yang bernilai RM3.447 juta.
Polis turut merampas sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai RM160,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, ia juga kali pertama rampasan dadah di negeri ini menemui bahan terlarang itu dalam bentuk ramuan jeli dan setiap bekas jeli dadah itu dijual pada harga RM150 hingga RM200.
“Sindiket juga menjual secara kombo jeli dan dadah (cecair) dengan harga RM480. Kita percaya ianya dijual kepada pelanggan tertentu.
“Sindiket ini juga menggunakan botol air minuman berperisa untuk campuran dadah, yang dijual pada harga RM200 sebotol di pasaran. Biasanya sindiket akan menggunakan label minuman popular bagi mengelak kegiatan mereka dikesan,” katanya.
Katanya, hasil saringan urin terhadap kedua suspek negatif namun kedua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kita masih mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas,” katanya.
Nnn
