BANGKOK 7 Ogos – Mahkamah Perlembagaan di sini mengundi “sebulat suara” untuk membubarkan Parti Move Forward dan mengharamkan lembaga eksekutifnya, termasuk bekas pemimpinnya Pita Limjaroenrat, daripada politik selama 10 tahun.
Hakim Punya Udchachon yang mengumumkan keputusan itu berkata, parti itu dibubarkan pada hari ini atas percubaannya untuk memperbaharui undang-undang fitnah diraja kerajaan itu.
Ini bermakna Pita, 43, yang mengetuai parti reformis MFP ke tempat pertama yang mengejutkan dalam pilihan raya umum tahun lalu, akan dihalang daripada mengambil sebarang peranan dalam politik untuk dekad akan datang.
Populariti Pita melonjak menjelang pilihan raya apabila beliau menarik perhatian pengundi muda dan bandar dengan ikrarnya untuk memperbaharui undang-undang ketat fitnah diraja Thailand, yang menurut kumpulan hak asasi manusia telah disalahgunakan untuk menyekat kumpulan prodemokrasi.
Bagaimanapun , usahanya untuk menjadi perdana menteri telah dihalang oleh pasukan konservatif di senat.
Kerjaya politiknya semakin goyah pada Mac apabila suruhanjaya pilihan raya Thailand meminta mahkamah tertinggi negara itu membubarkan MFP.
Ini berikutan keputusan sebelum ini bahawa ikrar parti untuk memperbaharui undang-undang lese-majeste diraja adalah sebagai percubaan untuk menggulingkan raja berperlembagaan.
