Harga diesel turun lima sen

PUTRAJAYA 7 Ogos – Harga runcit bagi diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan lima sen kepada RM3.30 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter bermula esok hingga 14 Ogos ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan harga runcit diesel untuk Semenanjung Malaysia pada RM3.30 seliter adalah selaras dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung, bermula 10 Jun lalu.

Sementara itu, kenyataan MOF juga menyebut harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada paras RM3.47 dan RM2.05 seliter.

MOF berkata kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Related posts

Leave a Comment