Ketua Pengarah UKAS KSN baharu

PUTRAJAYA 7 Ogos  – Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan Shamsul Azri, 55 diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Mohd Zuki Ali yang bersara wajib berkuatkuasa 10 Ogos ini.

Shamsul Azri, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Shamsul Azri pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kerajaan juga melalui kenyataan itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

Penghargaan itu khususnya dalam usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya.

Related posts

Leave a Comment