Kapal tangki tenggelam langgar periuk api

TEHRAN – Sebuah kapal tangki gergasi yang membawa lebih dua juta tong minyak mentah dilaporkan tenggelam selepas melanggar periuk api laut sehingga mencetuskan letupan besar dan kebakaran.

Menurut Pengawal Revolusi Iran, kapal tersebut merupakan salah satu daripada dua kapal tangki yang dikatakan melanggar periuk api ketika melalui laluan perdagangan strategik itu.

Bagaimanapun, tiada pengesahan bebas diperoleh setakat ini berhubung insiden berkenaan dan pihak berkuasa Iran tidak mendedahkan identiti atau negara asal kedua-dua kapal berkenaan.

Tehran telah memperketat kawalan ke atas trafik perkapalan di Selat Hormuz dengan mewajibkan kapal menggunakan laluan yang diluluskan oleh republik Islam itu.

Iran juga dilaporkan kerap menyasarkan kapal yang melalui perairan berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negara itu. 

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran dan membantu kapal-kapal dagang menyeberangi selat tersebut yang lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Tentera AS sebelum ini mendakwa telah membersihkan semua periuk api dari laluan utama perkapalan di perairan berkenaan.

Sementara itu, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang menyelia operasi ketenteraan AS di rantau tersebut, terus membantu pergerakan kapal-kapal melalui selat berkenaan. 

Bulan lalu, ia memaklumkan telah membantu negara-negara Teluk mengeksport kira-kira 1.5 bilion tong minyak melalui Selat Hormuz sejak musim panas tahun ini.

Related posts

Leave a Comment