IPOH 2 Ogos -Empat ketetapan diambil bagi menyelesai dan menangani kemelut berhubung isu penularan penyebaran klip video lawatan kursus anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata ia diputuskan menerusi satu mesyuarat khas pagi ini dengan ketetapan itu diputuskan selepas mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas baginda disembah maklum mengenainya.
Katanya, mesyuarat yang dihadiri oleh JAIPk, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu menetapkan supaya JAIPk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan dikeluarkan oleh seorang peserta kursus berkenaan.
JAIPk juga diarahkan mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelak fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik serta kredibiliti jabatan itu yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.
Selain itu, JAIPk turut diminta mendapatkan pandangan JMNPk terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan lebih sesuai.
“Kerajaan negeri mahu semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media dibuat tanpa pemantauan terutamanya jika menyentuh sensitiviti agama,” kata kenyataan itu.
Isu berkenaan tular menerusi klip video berdurasi 6.35 minit dipercayai dari media berbahasa Tamil yang memaparkan kunjungan delegasi dari JAIPk ke Kuil Sri Maha Mariamman Kg Kasipillay, Kuala Lumpur.
Video itu menjadi perbualan hangat di media sosial terutamanya apabila terdapat individu daripada kalangan peserta kursus anjuran JAIPk itu menyatakan lawatan berkenaan memberi banyak pendedahan kepada peserta untuk lebih mendalami agama Hindu sekali gus mencerahkan salah faham yang sering berlaku memandangkan terdapat banyak kesamaan antara Hindu dan Islam, bagi mengeratkan hubungan antara agama.
Pejabat Menteri Besar Perak berkata kerajaan negeri mengambil berat polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video berkenaan.
Polemik itu menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi serta nama baik kerajaan negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.
“Dengan ini ditegaskan kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip `maqasid syariah’ dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Pejabat Menteri Besar Perak meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan serta ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Nnn
