PERMATANG PAUH 17 Mac – Pemuda UMNO Pulau Pinang mengecam tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang ‘singgah sebentar mengiringi’ aktivis, Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi hari ini.
Ketuanya Mohd Hilmi Elias berkata, pihaknya memandang serius dan mengecam tindakan Kulasegaran itu yang bukan sahaja menimbulkan persoalan besar terhadap prinsip keadilan dan kebebasan institusi kehakiman, malah mencetuskan persepsi negatif seolah-olah wujud layanan berbeza dalam sistem perundangan negara.
Katanya, dalam keadaan rakyat biasa dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari, kehadiran seorang pemimpin kerajaan yang mengiringi tertuduh tanpa bergari memberi gambaran yang sangat tidak wajar dan mencalar imej integriti undang-undang itu sendiri.
“Walaupun penjelasan diberikan bahawa beliau hanya “singgah sebentar”, hakikatnya persepsi awam tidak boleh dipandang ringan. Dalam politik dan pentadbiran, soal optik dan persepsi sama penting dengan tindakan itu sendiri.
Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang Timbalan Menteri yang sepatutnya mempertahankan prinsip keadilan tanpa sebarang prejudis,” kata Hilmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh dalam satu kenyataan.
Katanya, tindakan ini jelas menunjukkan kegagalan dalam memahami sensitiviti serta tanggungjawab moral yang datang bersama jawatan yang dipegang yang juga memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa wujudnya ‘dua darjat’ dalam pelaksanaan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar Kulasegaran memberikan penjelasan yang lebih tuntas kepada rakyat serta mempertimbangkan kedudukan beliau dalam kerajaan.
“Individu yang gagal menjaga integriti dan persepsi awam tidak seharusnya terus diberi kepercayaan untuk berada dalam saf kepemimpinan negara. Rakyat sedang memerhati. Keadilan bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan tanpa sebarang keraguan,” katanya.
