LONDON: Syarikat-syarikat Fortune 500 di Amerika Syarikat (AS), kecuali Microsoft, dijangka mengalami kerugian kewangan sebanyak AS$5.4 bilion (RM25.2 bilion) akibat gangguan CrowdStrike baru-baru ini.
Menurut syarikat insurans Parametrix, kemas kini yang bermasalah daripada perisian keselamatan CrowdStrike itu telah menyebabkan komputer yang dikuasakan oleh sistem operasi Windows Microsoft mengalami kegagalan.
Ia sekali gus mengganggu perkhidmatan Internet di seluruh dunia dan memberi kesan kepada pelbagai industri termasuk syarikat penerbangan, perbankan, dan penjagaan kesihatan.
Parametrix dalam satu kenyataan, berkata, kerugian yang diinsuranskan daripada gangguan itu dijangka mencecah antara AS$540 juta hingga AS$1.08 bilion untuk syarikat-syarikat Fortune 500.
Syarikat insurans siber utama, Beazley, minggu ini berkata bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengubah panduan mengenai nisbah gabungannya, ukuran utama keuntungan taja jamin— selepas gangguan IT besar-besaran itu.
