KOTA BHARU 24 Julai – Pas menafikan partinya mahu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebaliknya menegaskan kerusi itu adalah milik Bersatu, kata Naib Presiden, Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, Pas tidak mengemukakan calonnya untuk PRK yang dijadualkan pada 17 Ogos itu kerana mematuhi perjanjian dengan Bersatu.
“Jadi, isu calon untuk PRK Nenggiri tidak timbul. Dakwaan bahawa Pas menuntut kerusi itu daripada Bersatu juga tidak benar kerana kedua-dua pihak bersetuju Bersatu mengemukakan calonnya di sana.
Malahan, Timbalan Presiden PAS baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa calon Bersatu yang akan bertanding PRK terbabit,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.
Mohd Amar, yang juga Speaker DUN Kelantan, berkata adalah perkara biasa bagi akar umbi parti mempunyai pendapat berbeza mengenai PRK berkenaan.
Ditanya bila Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon dan jangkaan gabungan itu pada PRK nanti, beliau memaklumkan, ia dijangka pada 1 Ogos ini di Renok, Gua Musang dan soal menang atau kalah bergantung pada calon.
Biasanya dalam PRK, akan bergantung sepenuhnya kepada calon. Jika dapat menarik pengundi, maka kita akan menang,” katanya.
PRK Nenggiri diadakan selepas penyandang kerusi, Mohd Azizi Abu Naimi yang menang atas tiket Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, digugurkan keahlian Bersatu kerana menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
(Foto pimpinan Pas dan Bersatu mengadakan mesyuarat menyusun strategi PN menghadapi PRK DUN Nenggiri di Kota Bharu kelmarin)
