Feri ikonik Pulau Pinang akan dilupuskan segera

BAGAN 24 Julai – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera berikutan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan lagi disebabkan pereputan yang serius.

Pengerusi SPPP, Yeoh Soon Hin, berkata langkah pelupusan juga diambil disebabkan feri berkenaan tidak boleh diapungkan lagi.

Katanya, SPPP juga menerima pelawaan daripada syarikat yang berminat untuk membeli/menyewa feri-feri ikonik namun isu utama adalah berkaitan kos yang tinggi dan syarikat yang berminat tidak dapat menyediakan lokasi untuk penempatan feri.

Soon Hin berkata demikian dalam satu kenyataan susulan sebuah feri ikonik, Pulau Kapas yang ditempatkan di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di sini, dilaporkan karam separuh bahagian dalam kejadian awal pagi ini.

Insiden pada pukul 3.26 pagi itu berlaku susulan air laut surut mengakibatkan feri dinamakan Pulau Kapas berkenaan terbalik.

Beliau menjelaskan feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH ini telah mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan dan siasatan  mendapati Pulau Kapas karam separuh bahagian memandangkan air laut masih surut.

“SPPP telah mengambil tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines), memasang oil boom bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin,” katanya.

Soon Hin berkata, Feri Pulau Kapas yang dibina pada 1981 ditamatkan operasinya pada 31 Mei 2020 sebelum ditempatkan di PSAH.

Feri berkenaan kemudian diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021.

Mengimbas kembali rentetan feri ikonik ini, pada 2021 SPPP memajak feri termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk menjadikan feri itu sebagai produk pelancongan di Pulau Pinang. 

“Bagaimanapun, hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan itu ditamatkan pada Februari 2023,” katanya.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu dan feri bagi motosikal dan basikal.

Nnn

Related posts

Leave a Comment