KUALA LUMPUR 24 Julai – Pasport Malaysia menduduki tempat ke-12 dalam indeks pasport global terkini, berbanding kedudukan ke-11 tahun lalu, demikian menurut laporan Indeks Pasport Henley 2024.
Laporan itu menilai 199 pasport dan 227 destinasi perjalanan itu dan Malaysia berkongsi kedudukan ke-12 dalam ranking bersama Cyprus dan Liechtenstein.
Untuk rekod, pada permulaan 2023, Malaysia menduduki tempat ke-14 pasport paling berkuasa di dunia dengan skor 179 manakala rekod kedudukan tertinggi pasport Malaysia adalah tempat kelapan pada 2014.
Pemegang pasport Malaysia dapat melancong tanpa visa ke 182 dari 227 destinasi di seluruh dunia termasuk United Kingdom (UK), Jepun, Itali, Qatar, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, Singapura mengekalkan kedudukan teratas dalam indeks berkenaan, membolehkan warganya melancong tanpa visa ke 195 destinasi lantas dinobat pasport paling berkuasa di dunia.
Indeks berkenaan berdasarkan data komprehensif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan mencerminkan landskap global semasa perjalanan tanpa visa.
Thailand dan Indonesia masing-masing berada pada tempat ke-60 dan ke-65, manakala Brunei menduduki tempat ke-19.
Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar masing-masing menduduki tempat ke-73, ke-86, ke-88, ke-90 dan ke-92 dalam ranking terbabit.
Jepun yang sebelum ini menduduki tempat teratas kini berada di tempat kedua bersama Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol. Lima negara berkenaan memberikan akses tanpa visa kepada warganya ke 192 destinasi.
Nnnn
