KUANTAN 23 Julai – Anak sulung bekas Perdana Menteri, Mohamad Nizar Mohamad Najib menafikan desas-desus yang mendakwa beliau bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Pahang.
Mohamad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, menyifatkan dakwaan berkaitan pertemuan yang tular di media sosial itu sebagai cerita dongeng yang tidak pernah berlaku.
Justeru beliau menegaskan tidak akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan bersama pemimpin lain di samping mengingati pesan bapanya, Datuk Seri Najib Razak supaya terus setia kepada parti walau bagaimana susah sekali pun keadaan.
Tegasnya, tidak mungkin beliau belot dengan mengkhianati Kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang amat beliau kasihi dan hormati.
“Beliau (Wan Rosdy) juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya, Pekan. Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati.
Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Peramu Jaya) tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.
“Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi. Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan. ” katanya menerusi Facebook.
Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan dihentikan.
“Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) (Hadis Riwayat al-Bukhari).
“Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang,” katanya.
Terdahulu, tular satu poster di media social yang mendakwa ‘Pahang sedang goyang! New State Government akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN’.