PRK : Pas tidak pandang rendah calon, parti lain

KUALA TERENGGANU 3 Okt. – Pas akan bekerja keras mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan tidak memandang rendah mana-mana parti dan calon lain yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu nanti.

Naib Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Pas mahu mengekalkan kemenangan di kerusi itu dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi.

“Kita tidak pernah menganggap mana-mana kerusi sebagai mudah untuk dimenangi, termasuk (Dewan Undangan Negeri) Ru Rendang walaupun kita telah menang (kerusi itu) selama puluhan tahun, apatah lagi di kerusi-kerusi Parlimen.

“Mana-mana yang ada, kita akan anggap sebagai suatu medan untuk kita bekerja keras dan sepenuh hati daripada jentera.

Saya percaya rakyat kita yang berada di kawasan itu juga sangat teruja untuk memberi kemenangan kepada calon Pas pada pilihan raya ini. Insya-Allah, kita akan bekerja ke arah itu (mengekalkan kemenangan),” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengenai calon bakal diturunkan pada PRK Parlimen Kemaman pula, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, Pas memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya yang ditetapkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu bagi Parlimen Kemaman.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mahu  membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid daripada Pas yang bertanding mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi itu selepas mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain, iaitu Ahmad Said daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 38,535 undi, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan – 8,340 undi), dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506 undi).

Che Alias berjaya mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Related posts

Leave a Comment