PUTRAJAYA 23 Julai – Mahkamah Rayuan hari ini mendapati enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.
Susulan itu, mahkamah yang membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kesemua enam tertuduh itu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun.
Dalam kes ini, hakim sebulat suara mendapati faktor-faktor yang memberatkan hukuman mengatasi faktor-faktor peribadi tertuduh.
Pada hemat hakim, hukuman yang wajar ialah empat tahun penjara, justeru hukuman penjara tiga tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun dari tarikh sabitan.
