Kanak-kanak hilang ditemukan selamat, 5 ditahan

JOHOR BAHRU 23 Julai –  Albertine Leo, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Sabtu lalu ditemukan dalam keadaan selamat awal pagi ini di Batang Kali, Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun juga ditahan kira-kira pukul 4 pagi ini dan dihantar ke Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata suspek tiada kaitan persaudaraan dengan mangsa dan motif kanak-kanak ini dilarikan masih dalam siasatan pihak polis.

Katanya, tiada panggilan diterima berhubung tuntutan pampasan susulan kejadian melarikan mangsa.

Mengenai mangsa yang ditemukan bersama suspek di sebuah hotel murah, beliau menjelaskan setakat ini tiada kecederaan fizikal dikesan, bagaimanapun kanak-kanak itu telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kumar juga berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam dan usaha yang dijalankan oleh pasukan polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah.

Albertine Leo Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu ketika di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.

Terdahulu, polis Johor menahan empat suspek dua lelaki dan dua wanita di sekitar Johor Bahru bagi membantu siasatan menjadikan keseluruhan lima suspek ditahan berhubung kejadian itu.

Tiga daripada suspek itu yang berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri manakala seorang lagi lewat tengah malam.

Susulan tangkapan tiga suspek, kehilangan mangsa diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Sementara itu, pagi ini, tiga suspek termasuk seorang wanita yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun Sabtu lalu, direman empat hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis.

Tempoh reman yang bermula hari ini sehingga Jumaat ini membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment