WASHINGTON: Selepas didesak berundur, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, akhirnya menarik diri daripada perebutan jawatan presiden dan mengesahkan Naib Presidennya, Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat.
Biden melalui kenyataan di media sosial berkata, beliau akan berucap dengan lebih terperinci mengenai keputusannya kepada negara, akhir minggu ini.
“Walaupun saya berhasrat untuk bertanding semula, namun demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya percaya adalah lebih baik untuk berundur dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Presiden untuk baki penggal saya,” katanya.
Susulan itu, Biden menawarkan sokongan penuh untuk Harris yang akan menggantikannya sebagai calon presiden dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 5 November ini.
“Demokrat sudah tiba masanya untuk bersatu dan menewaskan Trump. Mari lakukan ini,” katanya.
Pencalonannya menjadi tumpuan berikutan prestasi buruknya menentang bekas Presiden, Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.
Pada Khamis lalu, Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, ketika desakan supaya Biden menarik diri daripada perlumbaan itu semakin meningkat.
Sementara itu, Harris dalam satu kenyataan berkata, dia berbesar hati mendapat sokongan Biden, sambil menambah niatnya adalah untuk mendapatkan dan memenangi pencalonan itu.
Sepanjang tahun lalu, saya sudah mengembara ke seluruh negara, bercakap dengan rakyat Amerika mengenai pilihan jelas dalam pilihan raya penting ini.
“Itulah yang akan saya lakukan dalam beberapa hari dan minggu akan datang. Saya akan melakukan segala-galanya untuk menyatukan Parti Demokrat dan negara untuk mengalahkan Donald Trump dan agenda Projek 2025 yang melampau,” katanya.
Nnn
