Kiswah ditukar ketika hujan

PROSES menukar Kiswah atau kelambu khas yang melitupi Kaabah berjalan lancar walaupun hujan. Kiswah yang diperbuat daripada sutera hitam bersulam benang emas serta dihiasi dengan ayat al-Quran itu ditukar setiap tahun pada musim haji, iaitu hari Arafah, 9 Zulhijjah ketika jemaah meninggalkan Makkah untuk ke Arafah.

Sebelum ini, sejumlah 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak digunakan untuk menghasilkan Kiswah. Setiap tahun Kiswah ditenun menggunakan 670 kilogram benang sutera yang disulam dengan benang emas dan perak bagi melindungi binaan Kaabah itu.

Pembuatan Kiswah berukuran 14 meter tinggi dan 47 meter panjang kini menggabungkan hasil kerja tangan dan juga penggunaan mesin berteknologi bagi memastikan kualiti kelambu Baitullah itu tetap terpelihara.

Benang sutera bersalut emas dan perak disulam di atas kain hitam membentuk tulisan ayat-ayat al-Quran.

Kiswah pertama dibuat di Makkah pada tahun 1346 Hijrah ketika pemerintahan Almarhum Al Malik Abdul Aziz Abdul Rahman Al Saud.

Kiswah terdiri daripada lima lapisan kain, termasuk tirai yang menutup pintu Kaabah, yang dijahit serta disulam kainnya. Ia memakan masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan.

Kiswah juga ditukar pada Syaaban sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Related posts

Leave a Comment