KUALA LUMPUR 22 Julai – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak, Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-21, menggantikan Mutang Tagal yang meninggal dunia 10 Mei lalu.
Anak jati negeri Sarawak itu pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak bermula pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan pelbagai kes di semua peringkat mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998 dan pernah berkhidmat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama tiga penggal.
Pada 15 Julai lalu, Awang Bemee mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Nur Jazlan Mohamed, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh hingga 14 Julai 2027.
Beliau menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu.
Penasihat Undang-undang PBB dan Pegawai Awam Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.
Beliau juga pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan, sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.
