Rakyat Malaysia di Bangladesh dibawa pulang

PUTRAJAYA 22 Julai –   Semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh akan dibawa pulang susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.

Katanya, Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, sudah memberi ‘lampu hijau’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera.

“Seperti mana kita tahu situasi keselamatan di sana tidak berapa baik dan penilaian kita buat ketika ini dan kita mencapai kata putus bahawa pelan evakuasi perlu digerakkan.

“Kita akan bawa balik pelajar kita di Bangladesh dan juga warga Malaysia yang kerja di sana serta kaum keluarga petugas di kedutaan kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ketika ini seramai 192 rakyat Malaysia berada di negara berkenaan membabitkan 124 pelajar, bukan pelajar (58), dan keluarga petugas kedutaan (10).

Katanya, semua mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat Air Asia berkapasiti 350 orang yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada pukul 10 pagi waktu tempatan.

Kita sudah membuat urusan dengan pengurusan Air Asia, saya sudah minta mereka untuk bantu kerajaan bawa balik anak-anak kita dan warga Malaysia yang ada di sana.

“Kita akan hantar pesawat berkapasiti 350 orang, kita bawa pesawat besar sebab jika ada saat akhir warga Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, kerana kita dapati ada juga beberapa juruterbang rakyat Malaysia yang bertugas dengan syarikat penerbangan di sana yang ada keluarga dan memohon untuk balik bersama,” katanya.

Beliau berkata, pihak kedutaan Malaysia di Dhaka hari ini sedang berusaha mengumpul semua rakyat Malaysia termasuk pelajar terbabit dengan bantuan pihak keselamatan Bangladesh untuk dibawa ke bangunan kedutaan.

“Pada awalnya pihak kedutaan dan Kementerian Luar menganalisis keadaan di Bangladesh itu hanya gerakan daripada pelajar tetapi kebelakangan ini sudah menjadi satu gerakan anti kerajaan yang dirampas oleh pihak berkepentingan.

“Jadi kami tidak jangkakan bahawa isu ini akan selesai segera, maka jalan terbaik ialah bawa balik mereka ke tanah air,” katanya.

Ditanya mengenai keselamatan pergerakan rakyat Malaysia untuk dibawa ke lapangan terbang, beliau berkata, keadaan kini lebih baik.

“Difahamkan, sekarang sedang perintah berkurung, jadi perjalanan untuk bawa mereka lebih mudah. Keadaan pelajar kita di sana pun amat baik, cuma sedikit panik dengan apa yang berlaku,” katanya.

Related posts

Leave a Comment