SEMENANJUNG GAZA: Kementerian Kesihatan dan pegawai perubatan di Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan dilancarkan Israel semalam di sebuah stesen minyak dan sebuah sekolah di wilayah itu.
Menurut Kementerian Kesihatan, serangan rejim Zionis ke atas stesen minyak di Al-Mawasi dekat selatan Gaza mengorbankan 17 orang dan mencederakan 26 yang lain.
Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin pada mulanya melaporkan terdapat lapan orang terkoban dalam serangan berasingan pada masa yang hampir sama ke atas Sekolah Al-Razi yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersastu (PBB), di kem pelarian Nuseirat dekat tengah Gaza.
Selepas disemak semula, lima orang maut dalam serangan itu.
Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas menarik diri daripada rundingan gencatan senjata di Gaza, sehari selepas serangan udara tentera Israel disasarkan ke atas komander Mohammed Deif yang mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang.
Serangan ke atas kem Al-Mawasi itu turut mencederakan 300 orang terdiri wanita dan kanak-kanak.
Hamas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba menggagalkan usaha pengantara Arab dan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dengan menyerang Al-Mawasi di selatan Gaza.
Mei lalu, Al-Mawasi, berhampiran bandar Khan Younis dan Rafah, diisytiharkan sebagai zon selamat oleh tentera Israel, yang menyuruh orang awam berpindah ke sana.
Nnnn
