PUTRAJAYA 6 Jun – Sebanyak 25 daripada 672 sungai di negara ini berada dalam kategori tercemar, membabitkan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau memberitahu, sungai itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak di mana antara punca pencemaran adalah kerana industri, loji kumbahan, perbandaran, pertanian, perumahan dan penternakan.
“Secara keseluruhan, yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada sebanyak 672 sungai (di seluruh negara) dan empat peratus atau 25 sungai daripadanya, termasuk dalam kategori tercemar,” katanya.
Antara sungai dalam kategori ini ialah Sungai Bakar Arang dan Sungai Petani di Kedah serta Sungai Jawi, Sungai Chempedak, Sungai Rambai dan Sungai Pinang di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Fadillah berkata, sebanyak 72 peratus iaitu 486 daripada jumlah sungai yang dipantau JAS berada dalam kategori bersih manakala 24 peratus atau 161 sungai pula berada dalam kategori sederhana.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat terbabit bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai ditubuhkan di peringkat negeri.
Katanya, semua wakil negeri yang menghadiri mesyuarat terbabit akan membawa perkara itu pulang ke negeri masing-masing bagi mendapatkan panduan serta persetujuan.
“Kita juga bersetuju dari tempoh sebulan daripada hari ini, untuk mengadakan bengkel, bagi memperincikan segala perkara sebab cabaran berhubung pengurusan sungai ini, ia membabitkan bidang kuasa negeri, persekutuan dan ada juga PBT (pihak berkuasa tempatan).
“Jadi, dalam bengkel itu akan memperincikan segala perkara berhubung kait perundangan, peraturan, dasar dan juga pelaksanaan,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, jawatankuasa terbabit menekankan pemakaian pelan tindakan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM) sebagai peralatan pengurusan dalam membantu meningkatkan kualiti air sungai.
Sementara itu, mesyuarat p hari ini juga dimaklumkan mengenai Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) membangunkan Sistem Pintar Kecerdasan Buatan Bagi Penarafan dan Pengkelasan Kedudukan Sungai di Malaysia (AIE3S).
“Sistem ini boleh digunakan di lembangan sungai oleh semua pihak berkepentingan dalam pemantauan meningkatkan kualiti air sungai,” katanya.
Sungai Tercemar
Kedah – Sungai Merbok; Pulau Pinang – Sungai Chempedak, Sungai Jawi! Sungai Rambai! Sungai Kluang, Sungai Pinang! Sungai Titi Kerawang ; Selangor/Kuala Lumpur – Sungai Buloh, Sungai Air Busuk, Sungai Kerayong, Sungai Toba.
Johor – Sungai Danga! Sungai Buluh! Sungai Tukang Batu! Sungai Kempas! Sungai Segget! Sungai Pandan! Sungai Sebulung! Sungai Sengkuang! Sungai Tampoi; Sarawak – Sungai Adong, Sungai Miri, Sungai Daro dan Sungai Jemoreng
