Gaji RM12,000 hasilkan aplikasi judi

KUALA LUMPUR 5 Julai – Polis mengesan satu sindiket yang menggaji pengaturcara perisian sehingga mencecah RM12,000 sebulan untuk menghasilkan aplikasi judi dalam talian yang menyasarkan pelanggan luar negara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata modus operandi itu dikesan dalam serbuan di dua apartmen di Jalan Tun Razak, pada 27 Jun lalu.

Selain gaji mereka juga menyamar seperti syarikat biasa dengan memberikan manfaat kerja lain termasuk caruman Perkeso.

Katanya , mereka merekrut individu mahir dalam sistem pengkomputeran dan akan berperanan untuk menghasilkan perisian bagi laman sesawang perjudian dengan menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara.

“Mereka dibayar dengan lumayan iaitu antara antara RM5,000 hingga RM12,000.” katanya pada sidang media hari ini.

Siasatan mendapati sindiket itu yang bergiat sejak enam bulan lalu mendapat keuntungan kira-kira RM50,000 sehari bagi setiap perisian yang dijual kepada pihak ketiga.

Menurut beliau, polis menahan 15 individu termasuk dua warga China dalam serbuan pertama, kira-kira pukul 3 pagi manakala dalam serbuan kedua, polis menahan sembilan individu termasuk tujuh warga China dilakukan pukul 3 petang, hari sama.

Polis merampas pelbagai barangan termasuk komputer, kad akses, komputer riba, telefon bimbit dan router.

Hasil siasatan mendapati, dua serbuan itu membabitkan dua sindiket berlainan yang aktif sejak enam bulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sindiket itu menjadikan unit apartmen yang disewa di Jalan Tun Razak sebagai pejabat bagi pekerja termasuk ‘programmer’ itu.

Semakan dilakukan mendapati sembilan warga China yang ditahan dalam serbuan itu masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

Dalam kes berlainan, Mohamad Lazim berkata, tiga lelaki yang aktif mencuri motosikal di sekitar Wangsa Maju sejak beberapa tahun lalu berjaya ditahan polis menerusi Op Roda/Lejang, bulan lalu.

Melalui serbuan pada 26 Jun, polis merampas empat motosikal Yamaha 135LC, sebuah motosikal model Honda serta beberapa komponen motosikal.

Berdasarkan rampasan itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di daerah ini yang dipercayai didalangi tiga individu.

Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Nnn

Related posts

Leave a Comment