KUALA LUMPUR 4 Julai – Seorang penyokong kerajaan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) hari ini mendakwa dadah terutama syabu semakin mudah didapati dengan harga murah.
Justeru, beliau yang bimbang dengan situasi itu, menggesa kerajaan merangka mekanisme membanteras dadah secara besar-besaran selepas bahan terlarang itu terutama syabu didakwa dijual seperti ‘pisang goreng’.
Situasi itu, menyebabkan isu penagihan dadah di negara ini sukar ditangani sehingga memerlukan pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau antara lain mempersoalkan tindakan penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa berkaitan dalam membanteras isu berkenaan.
“Dadah jenis syabu ini memang tegar, di Kinabatangan ada di Sandakan ada Kota Kinabalu ada.
“Saya perhatikan dadah jenis syabu ini macam menjual pisang goreng di semua penjuru boleh dapat, RM30 boleh dapat saya pun hairan dari mana datang benda ini?” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024
Dalam pada itu, Bung berharap kerajaan melaksanakan pindaan RUU berkenaan dengan tindakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan masalah penagihan dadah ditangani secara menyeluruh.
Katanya, selain perhatian untuk merawat penagih dadah, kerajaan perlu memastikan golongan terbabit memiliki kemahiran bagi mendapatkan peluang pekerjaan selepas menjalani pemulihan.
“Hari ini ratusan (rakyat) jadi penagih, akhirnya kita sumbat ke penjara, kemudian masa depan tiada. Patutnya kita wujud pusat serenti lebih banyak, mungkin kita wujudkan sekolah (latihan) vokasional atau TVET untuk mereka yang dirawat.
“Selain memulihkan, mereka keluar ada keyakinan, ada kemahiran… boleh cari peluang pekerjaan. Sebab selalunya penagih selalu menerima pandangan rendah (negatif) daripada masyarakat.
“Jangan kita laksanakan sistem macam melepaskan batuk di tangga, seolah-olah ada akta begini cukuplah, tiada ‘follow up’, pematuhan atau tindakan untuk memastikan perancangan baik,” katanya.
Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mencadangkan penubuhan panel yang turut diwakili Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan pelaksanaan pindaan RUU itu secara sistematik.
Beliau berkata, ia termasuk perbincangan mengenai isu ketagihan berulang, menyahjenayahkan kesalahan penagihan dadah, selain membantu memberi keyakinan diri dalam kalangan penagih bahan terlarang itu.
“Panel ini lebih adil dan berbincang untuk buat keputusan bersama kerana kita perlu ingat walaupun niatnya baik tetapi Kementerian Dalam Negeri semata-mata tidak mencukupi. Perlu ada libat urus. Isu ketagihan ini bukan isu ‘one-off’, sebaliknya berulang,” katanya.
