
DALAM satu hantaran di Facebook Bandar Baru Bangi Community (BHBC), Selak tertarik dengan kenyataan yang berbunyi : “Anjir (anjing) utk dijual. Sekor RM3.50. Ambil semua (4 ekor) RM10!! Lokasi Jalan 5C/5, Seksyen 5.
Maknanya, ada masalah anjing liar atau anjing jalanan. Bagi Selak, ia satu gurauan tetapi serius. Nampak benar kekecewaannya berkaitan masalah anjing berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan orang awam terutama kanak-kanak.
Lihatlah komen yang pelbagai. Tidak ketinggalan, rasa kecewa netizen terhadap pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Akhirnya lahirlah kenyataan gurauan seperti di atas. Siapa lagi yang boleh diharapkan.
Kebetulan pada hari yang sama, grup WhatsApp saya di Laman 2 Bandar Seri Putra (BSP) juga membangkitkan perkara yang sama. Sudah lama anjing liar berkeliaran dan menumpang di Laman 2, majoritinya masyarakat Islam. Sudah beranak pinak.
Isu tercetus di WhatsApp apabila anjing-anjing ini sudah pandai memasuki kawasan surau. Dah jadi satu kerja pula, pintu pagar nak kena tutup, bimbang menceroboh ke dalam surau.
Persatuan penduduk sudah membuat aduan kepada MPKj. Selak juga sudah buat aduan. Tetapi masalah yang timbul khabarnya pihak penguat kuasa datang tetapi anjing-anjing keluar ‘bersiar-siar’ atau jalan cari makan dan pulang lewat petang. Perangkap pula tidak mengena.
Penduduk tidak peduli apa ikhtiar yang boleh dilakukan oleh penguat kuasa MPKj asalkan kawasan mereka dibersihkan daripada anjing liar yang bergerak secara gerombolan sehingga sepuluh ekor atau lebih. Akibat ‘pergaulan’ bebas ini menyebabkan pembiakan tidak dapat dihalang.
Persoalannya, apakah ikhtiar MPKj bagi mengurangkan kebanjiran anjing liar ini? Tidak ada maknanya, hari ini tangkap esok datang pula yang lain. Sampai bila penduduk akan terus membuat aduan dan menunggu lama untuk diselesaikan? Satu ‘penempatan’ khusus perlu disediakan.
Betul atau tidak, ada yang berkata, disebabkan anjing ini tidak boleh dimusnahkan, maka dikatakan jika dapat tangkap di Taman Perumahan A, kemudian dilepaskan pula di kawasan lain, contoh di Taman Perumahan B. Harap maklumat itu tidak betul. Jika benar sampai bila pun rungutan awam tidak selesai.
Diharapkan isu anjing liar ini diselesaikan secara tuntas, diatasi dengan sebaik mungkin. Ingatlah, anjing liar ada sejarah hitam. Haiwan ini boleh menjadi ganas yang bukan sekadar mencederakan tetapi boleh membunuh.
Semua pihak sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perihatin dengan kebajikan haiwan ini mencari jalan menangani isu ini dengan mengemukakan cadangan yang membawa penyelesaian.
Kita faham ada pihak yang mempertahankan kehadiran anjing liar ini dengan menyalahkan manusia melakukan provokasi sedangkan anjing yang tidak berakal itu juga tidak kenal mangsanya.
Penduduk tidak kisah dengan anjing belaan yang dijaga dengan baik oleh pemiliknya, keluar bersiar dengan pemiliknya sama ada berjoging pagi dan petang.
Isunya sekarang anjing liar tanpa tuan yang merayau mencari makanan dan membawa risiko terhadap penduduk yang melakukan riadah di kawasan taman perumahan atau taman permainan mereka pagi dan petang.
Janganlah aktiviti riadah dicemari atau diganggu dengan kehadiran anjing liar.
Ada anjing yang pantang nampak manusia, akan dikejarnya. Ketika itu siapa yang akan membantu dan jika berlaku sesuatu siapa pula yang harus bertanggungjawab. Ada insurans yang boleh membantu mereka yang dicederakan anjing?
Justeru semua pihak perlu menggembleng tenaga dan fikiran untuk mengatasi isu yang belum nampak kesudahannya. Sudah lama masyarakat membangkitkan isu anjing liar ini kerana ia berkait dengan keselamatan, kebersihan dan keselesaan.
Semoga ada penyelesaian di peringkat jabatan atau penguatkuasaan. Begitu juga dengan Ahli Majlis. Tidak perlulah sehingga Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan atau Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan terpaksa membangkitkannya di Dewan Rakyat.
Dan sudah tentu tidak perlu menunggu Pilihan Raya Kecil (PRK) barulah isu ini diberi perhatian oleh Kerajaan Madani. Yang penting jangan sehingga ada yang cedera atau terbunuh baru mahu bertindak.
Nnnn
