KUALA LUMPUR 24 Jun – Istilah kerajaan ‘lembu kenyang’ yang dibangkitkan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) menggamatkan hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika beliau berbahas pada Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel.
Radzi menggunakan istilah itu bagi menggambarkan seolah-olah mendakwa kerajaan tidak mendengar rintihan rakyat dengan kenaikan harga barang sejak penyasaran subsidi diesel itu dilaksanakan pada 10 Jun lalu.
“Ini berikan impak besar, saya sentiasa sebut kerajaan tidak dengar apa rakyat sebut di bawah, ini kerajaan lembu kenyang mereka tak selami apa dilalui rakyat. Ini kerajaan lembu kenyang, tak nak dengar rintihan rakyat.
Sebab dia (kerajaan) buat cuma memikirkan apa yang mereka ingin sampaikan tetapi tidak menyelami apakah sebenarnya yang dilalui rakyat,” katanya.
Kenyataan itu membuatkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangkit mencelah sambil meminta Radzi menarik balik kenyataan itu.
“Tarik balik, ini sangkaan jahat,” katanya.
Radzi yang tidak memberikan ruang bagaimanapun tidak mengendahkan celahan itu sambil meneruskan ucapannya.
“….saya nak cakap nak sampaikan bahawa rakyat di bawah sana bercakap tentang tekanan yang mereka hadapi tentang kos dihadapi, tetapi kerajaan tak bertindak.
“Apa tindakan (diambil) kerajaan kepada (rungutan) petani, yang bawa ‘backhoe’ (jentolak), ‘excavator’ (jengkaut),” katanya sebelum menamatkan perbahasan.
Sejurus tamat sesi perbahasannya, Radzi menjelaskan istilah lembu kenyang itu selepas diminta oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
“Orang Kelantan kata lembu bila kenyang dia buat tak tahu, orang kacau dia buat tak dengar. Rakyat bercakap berkenaan kos mereka hadapi tetapi kerajaan tak bertindak,” katanya.
Terdahulu, Amir Hamzah melalui Sesi Penerangan Menteri memaklumkan jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi.
Ia sekali gus mengesahkan memang wujud aktiviti penyeludupan bahan api ke negara sempadan sebelum ini.
Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi diesel menyaksikan jumlah jualan runcit di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama, berbanding minggu sebelumnya.
Selain itu, jualan diesel komersial meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.
Nnn
