Usul berkaitan MAHB ditolak

KUALA LUMPUR 24 Jun –  Speaker Dewan Rakyat  Johari Abdul menolak usul tergempar oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang yang menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat berkait BlackRock.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN- Machang) mengemukakan usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).

“Usul tergempar saya untuk bahas penangguhan atau pembatalan penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis ditolak oleh speaker,” katanya menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan terus berunding dan mendesak dalam Parlimen supaya isu ini dibahaskan dan semua rakyat tahu apa sebenarnya sudah dan akan berlaku ke atas aset strategik negara iaitu 39 buah lapangan terbang.

Dalam perkongsian itu, Wan Ahmad Fayhsal turut memuat naik surat jawapan daripada Johari, yang bertarikh hari ini terhadap usul yang difailkan.

Melalui surat jawapan itu, Johari memaklumkan sudah meneliti usul dikemukakan itu yang antara lain mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul berkenaan

“Untuk makluman Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) tidak mempunyai sebarang peruntukan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul di bawah Peraturan berkenaan.

“Oleh itu, usul ini adalah tidak teratur kerana ia tidak menepati keperluan dalam Peraturan Mesyuarat 18 PPMMDR.

“Justeru, selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) PPMMDR, saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” menurut surat jawapan berkenaan.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul sama dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) pada awal Jun lalu sebagai usul persendirian yang dijadikan sebahagian daripada Aturan Urusan Mesyuarat (Ahli Bukan Kerajaan) bagi pertimbangan untuk dibahaskan.

Pada 15 Mei lalu, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nnn

Related posts

Leave a Comment