KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi) akan memberi penjelasan mengenai kedudukan Malaysia yang jatuh dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz sudah memaklumkan kepadanya dan akan memberi penjelasan lanjut mengenai apa laporan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).
“Beri sedikit masa kepada MITI untuk mengkaji apa yang dimaksudkan kerana realitinya tahun ini kita menyaksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi terutama dalam sektor semikonduktor, data center dan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Jadi kita perlu menyerahkan kepada MITI untuk menjawab dengan lebih sempurna,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran MCMC Microsoft AI Teach: Skills for AI-enabled economy dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft Malaysia.
Berdasarkan WCR 24, dalam kalangan 67 negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-34 jatuh tujuh anak tangga daripada ranking ke-27 tahun lalu manakala di ASEAN, Malaysia di tempat keempat selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.
Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua.
Laporan itu berkata Malaysia perlu mengejar hampir semua bidang yang dinilai, termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan menyifatkan kedudukan itu suatu tamparan hebat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporannya jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul.
Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, beliau akan menghuraikan butiran kedudukan Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia yang dikeluarkan oleh IMD itu.
Tengku Zafrul dilaporkan berkata, MITI sudah menerima laporan itu dan sedang dalam proses membuat semakan bagi memahami pelbagai isu berkaitan perdagangan global.
NNNN
