TANJONG 20 Jun – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menghidupkan semula sektor pertanian bagi memastikan keselamatan makanan untuk negara di samping usaha ke arah menurunkan harga makanan,
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pihaknya menyokong usaha bagi menurunkan harga makanan tetapi bagi menstabilkan harga, adalah penting untuk melakukan pelaburan dalam pengeluaran makanan tempatan.
Mohideen berkata, hasil penyelidikan tentang pengeluaran makanan haiwan yang berkhasiat dan berpatutan oleh institusi pengajian tinggi perlu dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan menyokong pertanian tempatan.
Katanya, ketika ini penternak ayam sangat bergantung kepada makanan import dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. yang membentuk sebanyak 70 peratus daripada kos keseluruhan bagi membesarkan ayam.
Mohideen dalam kenyataannya menyambut baik inisiatif kerajaan bagi memberi subsidi harga telur tetapi ia perlu dilihat sebagai langkah sementara, memandangkan subsidi jangka panjang tidak mampan.
Katanya, rakyat Malaysia makan lebih 940 juta telur setiap bulan, menjadikan ia sebagai sumber protein penting dan mampu milik dengan kegunaan kulinari yang pelbagai.
“Ketika rakyat Malaysia terus menggunakan kuantiti telur yang besar, pengguna menyatakan harapan bahawa lebih banyak barangan makanan penting akan diberi subsidi, membawa kepada pengurangan harga di kedai makanan,” katanya.
Katanya, isu makanan sudah menghantui Malaysia sejak tahun 1980-an, apabila negara mula meminggirkan pertanian dan beralih kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan.
“Oleh itu, Malaysia perlu segera menghidupkan semula sektor pertanian bagi memastikan keselamatan makanan untuk negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengakui subsidi bagi barangan makanan penting lain juga perlu, tetapi CAP menentang subsidi untuk gula kerana kadar diabetes yang tinggi di Malaysia, tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara yang tertinggi di dunia.
“Penggunaan gula isi rumah rata-rata dianggarkan sebanyak 2.6kg sebulan, menyumbang secara signifikan kepada isu kesihatan ini,” katanya.
