Lebih 1,400 korban gempa Turkiye, Syria

DIYARBAKIR (TURKIYE): Angka korban tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, hari ini, terus meningkat kepada lebih 1,400.

Presiden Recep Tayyip Erdogan yang berdepan bencana terbesar dalam tempoh dua dekad pemerintahannya berkata sekurang-kurangnya 912 maut. dan lebih 5,000 orang cedera.

Erdogan berkata ia merupakan bencana terburuk melanda negara itu sejak 1939, sambil menambah 2,818 bangunan runtuh dalam gempa itu.

Gempa bumi pertama awal pagi tadi diikuti lebih 50 gempa susulan, termasuk satu gegaran berukuran 7.5 magnitud yang melanda pada tengah hari ketika pasukan bertungkus lumus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Media dan anggota penyelamat di Syria pula memaklumkan, sekurang-kurang 592 terkorban di negara itu yang turut menyaksikan bangunan ranap dalam insiden kali ini.

Menurut laporan media, gegaran lanjutan itu dirasai hingga sejauh ibu kota Turkiye, Ankara, dan bandar Irbil di Iraq.

Angka korban yang dilaporkan oleh media tempatan itu dipercayai hanya meliputi mereka yang tinggal di kawasan pemerintah.

Ketua Pusat Gempa Bumi Nasional Syria, Raed Ahmed memberitahu saluran radio pro-pemerintah itu bahawa “mengikut sejarah, ini merupakan gempa bumi dahsyat yang pernah dirakam dalam sejarah pusat itu”.

Related posts

Leave a Comment