SEPANG 9 Jun – Tindakan DAP untuk mengadakan program taklimat kewarganegaraan yang didakwa memudahcara untuk mendapatkan kerakyatan adalah bahaya dan boleh diumpama sedang ‘membakar’ negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tugas berkenaan tidak boleh dilaksanakan oleh parti politik kerana ia bidang khusus Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“DAP wajib menjelaskan secara terperinci apakah langkah yang dilakukan oleh individu bernama Yeap Choon Keong yang mendakwa dirinya ialah Pengarah Program Kewarganegaraan DAP Pulau Pinang yang berjaya membantu mendapatkan kerakyatan untuk beberapa individu.
“Mengikut data dalam media sosialnya sendiri, pada Mei tahun ini, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan, lima kes pada April dan tiga kes pada Mac,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook, hari ini.
Katanya, penjelasan perlu dibuat berhubung tindakan berkenaan selain turut mempersoalkan apa ‘kabel’ yang digunakan sehingga mujarabnya usaha individu berkenaan.
“Tidak cukupkah kaedah biasa di JPN dan KDN untuk menyantuni urusan ini?. Amaran keras untuk pihak yang sedang ‘membakar’ negara ini, jangan sekali-kali berani melakukan tindakan bodoh jika tidak ingin berdepan dengan tindakan undang-undang di kemudian hari.
Rakan-rakannya di dalam kerajaan juga, jangan berpura-pura marah dan naik angin, kamulah yang sedang membantu menyemarakkan api,” katanya.
Baru-baru ini, tular poster penganjuran program terbabit pada 30 Jun ini yang mengundang pelbagai pandangan negatif.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng menerusi muat naik di laman Facebooknya, memaklumkan taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang itu ditangguhkan.
Beliau mendakwa, taklimat berkenaan bertujuan menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.
“Sebagai contoh: Bapa Malaysian, Ibu Indonesian. Perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia. Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan.
Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap yang dibayar gaji setimpal, tidak layak memiliki kenderaan juga lesen memandu seterusnya terlibat dalam kes jenayah / masalah sosial,” katanya.
Katanya, dalam taklimat tersebut akan disediakan senarai dokumen yang diperlukan bagi setiap kes, penerangan untuk merujuk kepada jabatan yang terlibat.
Nnnn
