Taklimat kewarganegaraan tidak salah

SEPANG 9 Jun – DAP Johor menegaskan bahawa program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan yang dianjurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, sebagai tidak menyalahi undang-undang.

Naib Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, program itu juga tiada isu apatah lagi menyalahi undang-undang sebaliknya ia bertujuan memberi penerangan dan panduan kepada rakyat yang berhadapan isu kewarganegaraan.

Dalam kenyataan melalui Facebooknya, beliau menyelar tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap program itu sekali gus hanya mengganggu gugat keharmonian negara.

“Namun, saya amat sedih apabila ada pihak cuba menangguk di air yang keruh dengan mengheret isu ini ke kancah sempit perkauman.

Beberapa kupasan di media sosial misalnya yang cuba mengelirukan isu ini dengan mengaitkan ia sebagai usaha menyalahguna kuasa untuk memberikan kewarganegaraan kepada bangsa asing.

“Lebih melampau, ada yang cuba menggambarkan ia sebagai tindakan menjual kedaulatan negara dengan mengambil alih tugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Situasi ini sepatutnya tidak timbul kerana kita hanya bertindak sebagai jambatan pemudahcara kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini Pemuda UMNO Johor dilaporkan mendesak program Taklimat dan Penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng itu, dibatalkan serta merta.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, dilaporkan berkata program berkenaan dilihat sebagai satu bentuk provokasi yang akan mengundang kepada ketidaktenteraman.

Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menegaskan penganjuran program taklimat kewarganegaraan itu bukanlah perkara baharu dan tidak sepatutnya timbul kerana ia berperanan sebagai pemudahcara dan pembantu kepada rakyat yang memerlukan khidmat panduan.

Apatah lagi, katanya, isu kewarganegaraan sering dihadapi pejabat-pejabat wakil rakyat seluruh negara.

“Ia tidak sedikit pun mengikis patriotisme sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi pada akhirnya, kuasa pemutus tetap berada di tangan pihak berkuasa. Isu serta program seperti itu juga bukan rahsia, bukan juga isu terpencil atau luar biasa,” katanya .

Beliau mengambil contoh beberapa bulan yang lalu, telah membantu mengendalikan kes pasangan ibu bapa Melayu warganegara Malaysia yang mengambil anak angkat berstatus Indonesia yang  tidak memiliki sijil kelahiran Malaysia.

“Pasangan tersebut berhadapan masalah kewangan kerana kos biaya pendidikan yang tinggi manakala anaknya mengalami tekanan emosi dari rakan sebaya.

Saya telah membimbing mereka satu persatu termasuk proses melengkapkan dokumen agar memenuhi keperluan syarat-syarat yang digariskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan anak tersebut membuat permohonan sijil kelahiran Malaysia,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment