PAPAR 8 Jun – Pas akan mengumumkan pada 16 Jun ini calon yang akan diputuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bulan depan, kata Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, senarai calon daripada kawasan telah dikemukakan dalam mesyuarat parti semalam.
“Kebiasaannya kawasan akan hantar dua atau tiga nama, parti akan teliti kelayakan dan Majlis Syura akan mengesahkannya. Jika Majlis Syura anggap ketiga-tiga calon layak, parti akan buat keputusan mana yang terbaik.
“Insya-Allah pengumuman calon akan dibuat pada 16 Jun dan pelancaran jentera akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya yang juga memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) ada diadakan pada Selasa ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian serentak Muktamar Tahunan Dewan-Dewan PAS Negeri Sabah di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim turut menyatakan keyakinan Pas akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas mengalahkan calon dari PKR.
“Kita dari segi kerja, kita buat sehabis baik dan kita serah kepada pengundi. Tapi kita yakin rekod yang dibuat Yang Berhormat (Allahyarham Nor Zamri Latiff), Insya-Allah kita harap dapat kekalkan kemenangan Sungai Bakap,” katanya.
Ditanya sama ada Pas berminat dengan kerusi disandang enam Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian, Tuan Ibrahim mengakui pihaknya menunjukkan minat namun masih menunggu keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Sebagai rakan dalam PN, insiden (enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian dalam parti) ini sangat mendukacitakan termasuk pengundi kawasan (berkenaan).
“Saya ingat kita akan tunggu keputusan daripada Speaker dan sekiranya ada pilihan raya, kita akan turun bertanding macam biasa,” katanya.
Sementara itu, sempena program parti, Tuan Ibrahim turut mengambil kesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, di kediaman rasmi beliau di Sri Gaya.
”Alhamdulillah ikatan ukhuwah terus diikat erat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Nnn
